Awasi
Islamic Fashion Show
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
www.zaharuddin.net
'Islamic
Fashion Show' telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun
penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakawan
Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu
melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.
Namun
pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, fesyen yang
ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar
yang tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan
adalah 'clear cut' bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama
'Islamic'. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan
Islam.
Kita
menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba
meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka
sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama
‘Islam’ bagi perniagaan dan program mereka. Cuba
bandingkan :-
- Kita
melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama
sedunia agar apa yang ditawar benar-benar secocok dengan
kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah
yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama
‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan
kewangan mereka.
- Kita
juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui
suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang
diiktiraf di dalam dan luar negara.
- Malah
penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau
dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
- Sesebuah
unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label
Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai
tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu
Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada
yang menyeleweng.
- Organisasi
politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu
mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi
negeri-negeri.
- Penceramah-penceramah
yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk
mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.
Namun,
dalam kes pertunjukkan fesyen ini, penganjur sewenangnya tanpa mendapat
sebarang pengiktirafan dari pihak berkuasa agama dan para ulama,
menggunakan nama Islam. Ini jelas satu tindakan yang tidak selari
dengan semua item yang disebut di atas.
Pihak
penganjur perlu sedar menggunakan label ’Islam’
untuk fashion show mereka adalah tindakan offensive
atau menyerang kesucian Islam dan menyakitkan perasaan umat Islam.
Tindakan
itu sekaligus menyelewengkan ajaran Islam berkaitan displin pakaian.
Ingin saya nasihatkan, kepada penganjur dan semua fashion
designer beragama Islam yang terlibat sebelum
ini, wajiblah kalian menghentikan penyertaan dalam pertunjukan
terbabit di masa akan datang, jika ia masih tidak dikawal. Ia
berdasarkan firman Allah :-
وَقَدْ
نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ
يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى
يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ
اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Ertinya
: Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam
Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan
diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk
beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena
sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan
mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang
munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam.
( An-Nisa : 140)
Jelas,
ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap
membantu menaikkan lagi sesuatu maksiat. Maka, kehadiran dan penyertaan
ke majlis tersebut adalah ditegah oleh Allah.
ENGKAR
SENDIRIAN & PROMOSI
Saya
pasti, akan ada individu yang mencemik bibir dan
‘meluat’ membaca sebarang saranan seperti ini,
kononnya ia menyekat sifat keterbukaan dan ‘close
minded’. Ingin ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum hakam
berkaitan aurat, menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno serta
lebih suka menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu kekal di
peringkat peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di alam
barzakh dan akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang lain
turut menjadi sepertinya.
Apabila
itu dilakukan malah di’organisasi’kan, ia telah
memasukkannya ke dalam satu sifat dan dosa yang lebih berat. Dari hanya
sebuah dosa biasa, berkembang kepada sifat dan ciri laku kaum munafiq,
yang mana sifat kumpulan ini adalah suka merosakkan Islam melalui
kata-kata dan tindakan, namun dilakukan dengan menggunapakai label
Islam agar objektif mereka terselindung.
Contoh
jelas sifat ini boleh dilihat di dalam firman Allah berkaitan penubuhan
Masjid Dhirar. Ia adalah adalah nama yang diberikan kepada sebuah
masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid
tersebut hampir-hampir dialu-alukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt
menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid
tersebut. Firman Allah swt
وَالَّذِينَ
اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ
الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن
قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ
يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ
أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ
فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ
الْمُطَّهِّرِينَ
Ertinya
: Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang
mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang
mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang
mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah
dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak
menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa
sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat :
107)
Allah
sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk
menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan
memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan
mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah
r.a.
Dari
tindakan Rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi
sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para
sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Justeru,
majlis pertunjukan fesyen ini adalah persis masjid dhirar, digunakan
nama dan label Islam tetapi mengkehendaki kemaksiatan, kemudaratan
kepada Islam atau hanya mementingkan ketamakan peribadi
tanpa mengira jika ia boleh memudaratkan Islam.
Justeru,
ingatan buat penganjur, penaja, fashion designer
dan jemputan, dari sepatutnya hanya terhad satu dosa, jangan sesekali
menggandakannya kepada ribuan dan jutaan. Penganjuran fashion show yang
dilabel dengan nama Islam seperti ini, sesungguhnya amat merosakkan
imej sebenar Islam.
PERTUNJUKAN
MELAMPAUI BATAS
Islamic
Fashion Show, khususnya yang dianjurkan pada tahun bulan Ogos, 2010
yang lalu, bukan sahaja melampaui batasan penutupan aurat yang
diajarkan oleh Nabi. Malah ia juga bercanggah dengan kefahaman
sebahagian pendokong ajaran Islam liberal itu sendiri. Saya tidak perlu
menyertakan gambarnya di sini kerana semuanya berteraburan dan boleh
didapati dengan mudah di media dan internet.
Sebagaimana
kita faham, sebahagian pendokong Islam liberal tidak meyakini
rambut wanita sebagai aurat, justeru hampir semua mereka sama
ada tidak bertudung langsung atau bertudung secara tidak sempurna.
Namun
apa yang dipersembahkan di Islamic fashion show itu telah lebih jauh
melampaui kefahaman kumpulan itu apabila ia bukan sahaja
tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi
Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, belahan buah
dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan
menamakannya sebagai Islam.
Saya
telah menyemak kesohihan gambar-gambar tersebut, dan terbukti
gambar-gambar yang paling menyeleweng seperti berbaju dengan nama
Muhammad, kain singkat, terdedah dada dan yang dinyatakan di atas
sememangnya wujud di pesta fesyen 'Islam' di Monaco itu. Ia
bukan super impose atau rekaaan menggunakan
teknik fotographi. Sebahagian sumber asal gambar terbabit boleh
dilihat di sini. Selebihnya anda boleh mencari cari sumber
gambar di internet tanpa perlu saya menyertakannya.
Menurut
hemat saya tiada pandangan dari mana-mana mazhab Islam yang boleh
diguna pakai untuk menghalalkan tindakan tersebut, semuanya pasti
mengharamkannya, sama ada kumpulan Wahabi, Salafi, Ahli hadis, Khalafi,
Ahbash, Pondok, Pesantren, Syiah, Zohiri, ahli Tasauf dan lainnya.
Saya
bimbang selepas ini mereka menggunakan ayat Al-quran di seluar dalam
dan bikini rekaan kreatif mereka lalu dipertontonkan kepada umum,
menjadi hidangan majlis Islamic fashion show.! Oleh
itu fashion show ini bukan sahaja salah di sudut
pandangan ulama Islam, malah juga salah pada pandangan kumpulan wanita
Islam liberal.
Saya
sedari ada fashion designer muslim yang menyertai pertunjukan itu
merasakan festival ini adalah medan besar untuk melariskan produk
masing-masing, menguatkan jenama dan menambah keuntungan perniagaan.
Namun mereka perlu sedar, apabila majlis 'gilang gemilang' itu dicemari
oleh unsur penghinaan terhadap Islam, majlis sebegitu bukan menambah
keuntungan dan berkat perniagaan, malah memalapkan berkat dan
menjauhkan peniagaan dari ruh Islam yang sebenarnya. Nabi pernah
menegur individu yang berniaga di dalam masjid dengan kata baginda :
إذا
رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد، فقولوا: لا أربح الله تجارت
Ertinya
: Apabila kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, katakan
kepadanya : Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada
perniagaanmu” ( Riwayat Al-Tirmidzi)
Adakah
peniaga muslim yang menyertai pertunjukan fesyen yang menghina Islam
ini, ingin kami katakan demikian kepada perniagaanmu?. Sudah tentu ia
tindakan yang valid kerana pertunjukan itu lebih berat mudaratnya
berbanding meniaga di dalam masjid. Kedua-duanya sama dari sudut
menjauhkan manusia dari Allah di tempat yang sepatutnya berzikir.
Fikirkan..
JATUH
MARUAH
Tidak
sedarkah mereka, penganjuran seperti ini sebenarnya menjatuhkan maruah
dan kedudukan tinggi wanita. Di manakah pejuang martabat wanita?.
Adakah mereka layak dijadikan bahan tontonan lelaki dengan pakaian
pelik atas nama fesyen.
Sukakah
mereka, penonton lelaki ibarat raja yang dihidangkan pemandangan
hamba-hamba wanita dengan pelbagai pakaian, mendedahkan kecantikan
masing-masing?.
Lebih
pelik, dimanakah isteri-isteri kepada suami yang menghadiri pertunjukan
itu. Adakah dia bahagia apabila suaminya hadir dan membandingkan
tubuhnya dengan tubuh ramping para model wanita yang tiada malu itu?.
Kalau
kita merasa benci dan marah apabila pelukis kartun Denmark mencaci Nabi
melalui kartunnya
Ahli
parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, 'Fitna',
Tentera
Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya,
Salman
Rushdi menghina Nabi melalui tulisannya,
Kini
tindakan menganjur, menjaya dan menyertai pertunjukan fesyen ini juga
adalah sama kategorinya. Semanya adalah sangat
‘menyerang’ kesucian Allah, Nabi dan Islam,
menyelewengkan manusia dari Islam sebenar dan secara sedar atau tidak,
menghina Islam.
MENGAPA
BARU SEKARANG?
Ada
yang bertanya, mengapa sekarang baru bising-bising sedangkan program
ini telah berlangsung tahun 2009 bertempat di sebuah hotel di
ibu kota, manakala pada bulan Ogos 2010 yang lalu pula dilangsungkan di
Monte Carlo, Monaco.
Jawapnya,
yang salah tetap perlu ditegur jika disedari, tidak kira sama ada lewat
atau cepat. Ia perlu agar ia tidak diulangi pada masa akan datang.
Khususnya apabila founder dan pengerusi Islamic Fashion Festival ini
adalah seorang lelaki yang saya rasa beragama Islam dari Malaysia. (Baca
sini) dan info rasmi
Islamic Fashion Festival.
Melihat
ia sudah hampir dijadikan upacara tahunan dan pertunjukannya pada tahun
2010 yang lalu menampilkan fesyen yang semakin melampau (berbanding
sewaktu festival 24 November 2009). Umat Islam yang prihatin, perlu
menyuarakan bantahan ini juga agar penganjur membatalkan road show
festival ini atau paling tidak, mengugurkan nama
‘Islam’ pada festival mereka.
Menurut
jadualnya ia akan dilaksanakan lagi tahun hadapan di Turki pada 10
februari 2011.
Kita
berharap akan ada individu dan pimpinan prihatin yang mempunyai
hubungan dengan Perdana Menteri Turki dapat berbuat sesuatu, sebelum
Islam dihina sekali lagi oleh penganutnya, disorak sorai oleh
musuh-musuh Islam seluruh dunia. Tidak perlu lagi nama nabi Muhammad
dan Islam dibusukkan oleh musuh Islam di Denmark atau Belanda, Amerika,
Israel dan lainnya. Kini hanya perlukan orang Islam sendiri.
JANGAN
SAMPAI MALAYSIA DITUDUH MENGHINA ISLAM
Kita
tidak mahu akan sampai satu ketika umat Islam seluruh dunia
berdemonstarsi di jalan dan kedutaan Malaysia kerana alasan menghina
Islam. Sebagaimana demonstrasi besar-besaran dilakukan kepada kerajaan
Denmark dan Belanda suatu ketika dahulu. Jika itu berlaku, imej
Malaysia pasti tercalar dengan hebatnya.
Jika
ingin diteruskan, mereka mestilah melantik beberapa orang mufti atu
cendiakwan Islam sebagai pemantau kepada semua design yang ingin
dipamerkan. Jika tiada seorang mufti dan cendikiawan Islam pun yang
sudi untuk menjadi pemantau dek kerana semuanya membantah dan menolak,
maka tiadalah kelulusan untuk menggunakan nama
‘Islam’ pada pertunjukan fesyen itu.
Kerana
itu, semua cendiakawan dan ilmuan Islam, khususnya pihak yang
memegangkan tampuk kuasa agama adalah bertanggungjawab untuk
menasihatkan sama ada secara sulit atau terbuka, menurut kadar
kemampuan mereka.
Saya
sedar, apabila isu ini dikaitkan dengan politik, sebarang teguran akan
dilihat teguran politik. Hasilnya ia sukar diterima walaupun BENAR. Ia
juga akan dipandang berat sebelah oleh segolongan orang, sebab itu saya
kira tidak perlu bertubi-tubi mengaitkannya dengan politik kepartian.
Ia
adalah hasil sebuah kejahilan global, merentasi politik kepartian dan
mesti dibetulkan secara amanah oleh ulama Islam secara global dan tidak
tertumpu kepada menyalahkan mana-mana parti politik secara khusus.
wallahu'alam.
Sebarang
caci maki politik kepartian tidak dialukan di sini. Hanya komentar
berdasar hukum & sensitiviti agama sahaja. Please.
Sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
www.zaharuddin.net
22
Oktober 2010